Contoh Perumahan Rakyat yang gagal disediakan oleh PAS Kedah |
Kerajaan persekutuan kesal dengan kerajaan PAS Kedah yang tidak
menunaikan janji untuk membina rumah kos rendah kepada rakyat setelah
menang pilihan raya umum (PRU) 2008.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung
berkata beliau kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang gagal
menunaikan janji yang ditaburkan kepada rakyat negeri ini.
Katanya walaupun pelbagai alasan yang diberikan seperti mahu mengubah
pelan perumahan di beberapa daerah, namun ia hanya untuk menutup
kelemahan kerajaan pembangkang itu.
"Empat tahun memerintah adalah masa yang agak panjang dan apabila PRU
nak dekat baru mereka cakap nak buat," kata Chor kepada pemberita
selepas mengadakan perjumpaan dengan penghuni perumahan Taman Uda di
sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata sebelum ini kerajaan
persekutuan tidak berhenti menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan
negeri-negeri terutamanya di negeri pembangkang namun mereka tidak
memanfaatkannya.
Katanya sehingga kini kerajaan negeri Kedah pimpinan Menteri Besar
Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak pernah meminta bantuan daripada
kerajaan persekutuan bagi menyelesaikan masalah rumah kos rendah.
Kerajaan PAS Kedah sebelum ini didakwa gagal menguruskan tiga projek
perumahan antaranya apartmen kos rendah Bandar Darulaman di Jitra,
Bandar Sejahtera di Pokok Sena dan Bandar Tunku Puteri, Gajah Mati juga
di Pokok Sena.
Sementara itu, Chor mengingatkan kepada bakal pembeli rumah agar tidak
mudah tertipu dengan tawaran rumah oleh sendikit penipuan rumah.
Katanya beliau dimaklumkkan pemaju yang tidak bertanggungjawab
mengambil kesempatan dengan mengumumkan kerajaan persekutuan dan
kerajaan negeri bakal membina lebih banyak rumah kos rendah di bandar
raya ini.
"Rakyat tertipu kerana beranggapan pemaju terbabit mempunyai hubungan
dengan kerajaan negeri dan persekutuan sehingga ada pembeli rumah telah
mengeluarkan wang pendahuluan yang tinggi," kata Chor.
Beliau berharap pihak polis akan melakukan siasatan dengan secepat
mungkin dan menangkap pihak tidak bertanggungjawab berkenaan. Pada 25 Jun lepas seramai 16 pembeli rumah kos rendah sekitar bandar
raya ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Star
kerana mendakwa mereka ditipu oleh ejen menjual rumah kos rendah sejak
dua tahun lalu.
Pembeli yang tertipu terpaksa membayar wang pendahuluan sebanyak
RM2,000 terlebih dahulu namun tapak rumah yang dijanjikan oleh agen
perumahan tidak ada.
No comments:
Post a Comment