Tujuh pemilik tanah mengemukakan permohonan semakan kehakiman di
Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam, bagi mencabar kebenaran merancang
Majlis Perbandaran Kulim (MPK) terhadap Lot 483 untuk pembangunan projek
kubur komersil di mukim Karangan, Kulim.
Pesuruhjaya Kehakiman, See Mee Chun menetapkan Rabu ini untuk mendengar
permohonan berkenaan, termasuk keputusan Exco Kedah pada 22 Februari
tahun lalu, menukar status tanah rizab Melayu pertanian kepada rizab
Melayu perkuburan komersil bukan Islam.
Mee Chun membuat keputusan itu dalam kamarnya semalam.
Pemohon terdiri daripada Wahi Saidin, 57; Zarina Md Asid, 49; Khalid
Mansor, 55; Abdul Rahman Samsudin, 49; Haslinda Omar, 42; Roslan Osman,
44, dan Nazirah Ali, 38.
Manakala Yang Dipertua MPK, Pentadbir Tanah Kulim dan Kerajaan Kedah,
masing-masing dinamakan responden pertama, kedua dan ketiga.
Wahi bersama enam lagi memohon semakan dibuat terhadap kebenaran
merancang mengikut Seksyen 21 (6) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976
(Akta 176) dan Seksyen 124A Kanun Tanah Negara.
Permohonan berkenaan turut membabitkan keputusan Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri Kedah pada 22 Februari tahun lalu, berkenaan kelulusan
mengubah jenis kegunaan tanah Lot 483 Pekan Karangan dari jenis
pertanian kepada perniagaan perkuburan komersil.
Seterusnya meliputi pendaftaran pindah milik tanah oleh Pentadbir Tanah
Kulim bagi Lot 470 dan Lot 2591 serta perkara Aturan 53 Kaedah Mahkamah
Tinggi 1980.
Peguam, Saiful Ambar Abdullah Ambar dan Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid mewakili pemohon.
No comments:
Post a Comment