Friday, July 6, 2012

BN CARI JALAN BANTU PENDUDUK TAMAN UDA


Masalah banjir kilat akibat sistem perparitan tidak sempurna dan jalan rosak yang menghantui penduduk Taman Uda di sini mendapat perhatian Barisan Nasional (BN). Ahli Parlimen Alor Setar, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, masalah berkenaan terutama banjir kilat di taman perumahan itu disebabkan sistem perparitan lama yang tidak dapat menampung kapasiti air. Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, ia biasa berlaku di taman-taman perumahan lama ekoran pembangunan sekeliling yang pesat.


"Sebagai penyelesaian jangka pendek, saya meminta bantuan syarikat pengurusan sisa pepejal, E-Idaman Sdn. Bhd. supaya menghantar lebih ramai pekerja bagi membersihkan sistem perparitan. Langkah ini membolehkan longkang berkenaan menampung lebih banyak air apabila hujan," katanya pada majlis perjumpaan dengan penduduk Taman Uda, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan Taman Uda (Bakti), wakil E-Idaman dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS). Chee Heung berkata, pihaknya akan mengkaji cadangan kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di taman perumahan berkenaan sebagai jalan penyelesaian jangka masa panjang. Bagaimanapun katanya, ia tidak boleh dilaksanakan segera kerana melibatkan jumlah peruntukan yang besar.

"Beberapa kawasan perumahan lain juga menghadapi masalah sama, jadi kita perlu mengimbangi peruntukan di semua tempat. Semua ini akan mengambil masa," ujar beliau.

Chee Heung turut meminta E-Idaman mengatur satu sistem supaya lori mereka tidak memasuki lorong-lorong kecil sewaktu memungut sampah bagi mengelakkan jalan tersebut mengalami kerosakan.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pelancongan dan Kebajikan Bakti, Datuk Nasir Mustaffa berkata, Taman Uda dibina sejak 36 tahun lalu dan sehingga kini tiada perubahan dilakukan melibatkan sistem perparitan. Katanya, setiap kali hujan lebat, penduduk risau dengan kejadian banjir kilat yang semakin kerap berlaku selepas banjir besar melanda negeri ini dua tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...