Thursday, May 31, 2012

NASIB PENGUNDI TERABAI!!! MANA SLOGAN NEGARA BERKEBAJIKAN????


Empat beradik di Kampung Pokok Sena di sini, kini hidup terumbang-ambing apabila ibu bapa mereka ditahan oleh pihak berkuasa kerana disyaki terbabit dengan kes penyalahgunaan dadah. Berikutan itu, nenek mereka, Esah Abu Bakar, 60, berkata, dia terpaksa menjaga empat cucunya, Nor Shafarina, 12; Mohd. Sharizan, 11; Mohd. Shawal, 7; dan Nur Sharipah, setahun itu dalam keadaan serba kekurangan.

Bagaimanapun dia tetap tabah dan mencuba sedaya upaya memastikan cucu-cucunya dapat meneruskan persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Baling.

"Hendak harap siapa lagi, walaupun berada dalam kesusahan, saya dan anak perempuan saya, Yuslina Md. Yusop, tetap menjaga mereka berempat termasuk soal makan dan minum setiap hari," katanya.
.
Sementara itu, Yuslina pula berkata, pendapatannya hasil menjual nasi lemak berhampiran Kompleks Rakan Muda Baling di sini setiap hari sejak awal pagi tidak mampu menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Dia yang juga merupakan ibu tunggal, terpaksa menjaga anak bongsu pasangan itu, Nur Sharipah serta tiga anaknya sendiri, Mohd. Ridzuan, 16; Mohd. Rushdan, 10; dan Nur Auni Rusydina, 7.

"Hidup kami ketika ini ibarat kais pagi makan pagi, lagipun tiada mana-mana pihak datang menghulurkan bantuan kepada kami," katanya lagi.

Bagaimanapun, keluarga itu amat bersyukur apabila Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah kelmarin tampil menghulurkan bantuan setelah mengetahui kesusahan mereka. Pengerusinya, Shamsul Bahar Abd. Rani berkata, dia amat sedih apabila melihat apa yang berlaku kepada keluarga itu dan beranggapan ia juga disebabkan masyarakat sekeliling yang tidak mengambil berat mengenai keadaan mereka.

"Saya dapat tahu ada ketikanya, keluarga ini hanya makan buah sukun sahaja kerana sudah kehabisan makanan," katanya.

Bagaimanapun, kata Shamsul Bahar, pihaknya sedia mengambil kanak-kanak itu supaya dapat tinggal di Asrama Anak-Anak Yatim dan Miskin Daerah Baling (Asrama Aman) Kampung Teluk Teduri di sini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...