Hari ini tak ramai rakyat Malaysia termasuk kalangan orang Melayu yang
tahu perkataan lama seperti jelapang yang bermaksud kepuk, rengkiang
atau juga lumbung. Maksud perkataan jelapang yang diberikan laman web
Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, adalah lebih
aneh daripada perkataan jelapang itu sendiri.
Zaman sudah banyak berubah. Dulu orang bercakap kiraan hasta dan cupak
tapi hari ini meter dan kilogram. Dulu, kereta paling mewah yang
dikenali orang Melayu ialah Mercedes. Hari ini, sudah ada beberapa orang
Melayu memandu kereta jenis Bugatti Vyron.
Sebelum ini, ketika menulis kolum di akhbar Straits Times, Tun Dr
Mahathir membuktikan sebab penanam padi, ketika itu disebut sebagai
pesawah bukan sahaja gagal menyerlah dari segi ekonomi tetapi sebaliknya
hidup secara sederhana.
Ini gara-gara komoditi penghasilan mereka dikawal orang tengah. Hari
ini kos menanam padi lebih tinggi daripada pulangannya dan mengakibatkan
lambakan beras import yang dijual di pasaran harga jauh lebih murah.
Namun apa pun, Kedah masih lagi Jelapang Padi iaitu menurut definisi
piawaian, ‘tempat penyimpanan/penghasilan beras’ bagi negara kita. Sama
ada masalah ekonomi pesawah ini diberikan fokus secukupnya atau kian dihimpit faktor kos tempatan yang
tidak terkawal, Kedah sudah pun menghasilkan dua Perdana Menteri (PM)
yang bertaraf ikonik – Almarhum Tunku Abdul Rahman dan dan Mahathir.
Masalah berkaitan penanaman padi sebenarnya bukanlah seratusperatus
kesilapan kerajaan BN. Tetapi, ia cukup menyeronokkan Pas kerana
permasalahan masyarakat sub-urban yang kurang pendedahan dunia luar ini
adalah jelapang modal insan pengundi yang penting buatnya. Inilah
mengapa Pas boleh memberikan saingan politik di Kedah pada PRU umum
lalu.
Dua puluh tahun lalu, tokoh ulung pemimpin dari Kedah, Tan Sri Sanusi
Junid pernah mengingatkan ‘selagi ada bendang selagi itu ada pengaruh
Pas. Kebetulan sahaja Sanusi pernah menjadi Menteri Pertanian dan mampu
melihat politik ‘jelapang’ dengan visi yang menjangkau jauh dari sekadar
keluasan bendang yang ‘saujana mata memandang’.
Begitu pun Pas di Kedah hampir pada masa yang sama denganUmno, iaitu
kira-kira sedekad sebelum merdeka gagal melahirkan tokoh yang berjaya
memberikan impak peringkat negeri dan nasional berbanding Umno yang
melahirkan keluarga Shahabuddin yang menduduki kerusi MB Kedah; kalangan
menteri kabinet seperti Kadir Sheikh Fadzil, Dr Afifuddin Omar dan Tun
Daim Zainuddin serta tokoh bilionair Melayu seperti Syed Mokhtar
al-Bukhari.
Begitulah hebat orang Kedah yang mencorakkan dunia politik dan korporat
negara. Bukan sekadar ‘Jelapang Padi’ tetapi juga ‘jelapang tokoh’. Tunku memiliki kehebatannya tersendiri. Namun bagi kebanyakan rakyat
Malaysia, Dr. Mahathir bersifat fenomena. Orang luar tidak melihat
Mahathir sebagai pemimpin Kedah tetapi mengenalinya sebagai PM Malaysia.
Tapi sekilas pandang orang tahu Mahathir orang Kedah kerana loghatnya
sampai kini masih tak berubah.
Cuma kalau dari segi sumbangan ke atas negeri asalnya itu, Langkawilah
satu-satu yang menampakkan hasil tangan mantan PM itu. Pekan Rabu di
Alor Setar hanyalah sebuah bazar yang kurang meyakinkan berbanding Lot
10 ataupun Midvalley di ibu kota. Hari ini Langkawi menjadi pusat
pelancongan bertaraf dunia jauh lebih hebat dari Bali ataupun Phuket.
Mungkin disebabkan Kedah begitu sinonim dengan padi dan dari padi
datangnya beras yang menjadi makanan utama rakyat Malaysia tanpa mengira
kaum, maka mungkin juga peribahasa. ‘ke mana tumpahnya kuah kalau tidak
ke nasi’ mempunyai akar atau asal-usul dari Kedah juga.
Mungkin, secara kebetulan,dua PM yang ikonik adalah dari Kedah dan
hanya keluarga dari Kedah sahaja yang mengukir sejarah mempunyai tiga MB
dari puak sama. Mungkin ini juga membuatkan ada pihak yang meramalkan
Datuk Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Jerlun dan juga Timbalan Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri dikatakan bakal menjadi PM
Malaysia satu hari nanti.
Sementara ramalan sedemikian sedap didengar penyokong Mukhriz dan
tidaklah boleh dianggap sebagai sesuatu yang keterlaluan, tetapi ia
bukanlah sesuatu pelayaran mudah bagi Mukhriz. Ini kerana ada yang
merasakan Mukhriz perlu mencapai tingkat tertinggi dalam Umno negeri
sebelum boleh dipertimbangkan untuk impian lebih tinggi.
Mukhriz menghabiskan banyak masa di luar Kedah. Justeru tentulah dia
kurang dikenali secara peribadi rakyat Kedah berbanding, katakan, Ketua
Perhubungan Umno, Datuk Ahmad Bashah Hanipah ataupun Datuk Seri Johari
Baharom.
Bagaimanapun perhatian atau spotlight terhadap Mukhriz kembali
menghantui sebilangan kecil pemimpin di Kedah apabila namanya disebut
sebagai calon favourite untuk jawatan MB Kedah - itu pun jika BN menang.
Perbualan mengenai siapa selepas Datuk Seri Azizan Razak kini memasuki
dimensi baru dengan isunya kini diperkatakan secara terbuka. Mereka yang
tak mahukan Mukhriz menambahkan rencah dengan memasukkan 'perasa'
kepada personaliti ini seperti menganggap dia terlalu muda dan tidak
berpengalaman. Setengah mengandaikan adalah tidak adil, calon yang bukan
bergelar Ketua Bahagian turut dipertimbangkan.
Apakah hal seperti ini menyukarkan PM merangkap Presiden Umno membawa
Mukhriz pulang ke Kedah? Apa pun ia dilihat sebagai masalah dalam iaitu
suatu perkembangan kurang selesa dari segi kesatuan atau uniti Umno
Kedah.
Pada masa sama Umno Kedah perlu menumpukan segala fokus dan usaha ke
arah menurunkan kerajaan Pakatan Rakyat pada PRU13. Nampaknya apabila
‘jelapang’ menyimpan terlalu banyak tokoh, ia juga akan menimbulkan
kesulitan. Atau mungkin juga ia memerlukan masa sebelum ‘kuah tumpah ke
nasi’.
No comments:
Post a Comment