Kira-kira 16 penduduk Taman Wira, Mergong di sini
mendakwa kerugian kira-kira RM16,000 selepas ditipu seorang individu
yang memperkenalkan diri sebagai ejen penjual rumah kos rendah pada Mac
tahun lalu. Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nancy berkata, dia
diperkenalkan kepada seorang ejen penjual rumah kos rendah pada Mac
tahun lalu oleh seorang rakannya yang juga mangsa dalam kes itu.
"Ejen itu menjanjikan saya sebuah rumah kos rendah lot tepi dengan
harga RM98,000 dan dia juga membawa saya ke bahagian perumahan di Wisma
Darul Aman untuk membuat permohonan bagi mendapat kelayakan untuk
memperoleh rumah kos rendah. Ketika di wisma itu, ejen tersebut menunjukkan satu contoh pelan
rumah yang dakwanya sama seperti rumah kos rendah yang akan saya beli di
belakang pasar raya Tesco," katanya ketika ditemui bersama lima lagi
mangsa yang hadir di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Derga di sini hari ini.
Menurut Nancy, dia kemudian diminta untuk membayar wang sebanyak
RM2,000 untuk tempahan dan pembayaran dilakukan dua hari kemudian di
pekarangan Mahkamah Tinggi Alor Setar di sini.
"Saya menunggu lebih setahun tetapi tidak ada apa-apa berita tentang
projek perumahan di belakang Tesco kerana yang ada sekarang ini hanyalah
kawasan sawah," ujarnya.
Nancy berkata, dia ada menghubungi ejen terbabit dan meminta wang
dikembalikan namun individu itu enggan dengan memberi alasan bahawa
projek tertangguh disebabkan beberapa masalah dan berjanji akan cuba
menggantikannya dengan rumah kos rendah di kawasan lain. Dalam pada itu, ADUN Derga, Dr. Cheah Soon Hai berkata, hasil
pemeriksaan dengan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan,
Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Bioteknologi, Datuk Amiruddin
Hamzah mengesahkan bahawa tiada projek rumah kos rendah dijalankan di
belakang Tesco seperti didakwa ejen tersebut.
"Perkara ini berlaku disebabkan oleh desakan penduduk Kedah daripada
golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah sendiri
sedangkan tiada lagi projek pembinaan rumah kos rendah yang berjaya
disiapkan kerajaan negeri sehingga sekarang," tambahnya.
No comments:
Post a Comment