Monday, June 25, 2012

RAKYAT KEDAH BANGKIT DESAK TUTUP PUSAT HIBURAN

Transformasi Ostad Azizan Tadbir Negeri. Kedah Darul Hiburan

Kerajaan Pas Kedah didesak supaya segera menutup pusat-pusat hiburan yang semakin bertambah di negeri ini ekoran kebimbangan lebih ramai golongan muda akan terjebak dalam anasir-anasir tidak sihat. Pengerusi Pertubuhan Kemajuan Rakyat Islam SeMalaysia (Kriss), Alias Hamid berkata, pembukaan pusat-pusat hiburan baru menunjukkan pemimpin Pas Kedah tidak sensitif dengan keperluan umat Islam di negeri ini.


"Mereka tidak meletakkan agama sebagai asas nombor satu dalam pentadbiran, jadi kami mendesak pusat-pusat hiburan baru ini ditutup. Pusat-pusat hiburan baru ini juga terletak berhampiran taman-taman perumahan dan dalam tinjauan kami mendapati pusat hiburan ini beroperasi sehingga melepasi pukul 1 pagi. Penguatkuasaan pula lemah kerana kami dapati yang pergi berseronok di sana juga kebanyakannya adalah anak muda Islam," katanya.

Menurut Alias, pihaknya akan bergabung dengan beberapa NGO lain di negeri ini untuk mengadakan demonstrasi di depan Wisma Darul Aman bagi mendesak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menutup pusat hiburan itu.

"Kami kecewa dengan perkara ini dan bayangkan apa akan berlaku kepada golongan remaja Islam jika perkara ini berlarutan," jelasnya.

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Kota Setar, Zulkifli Salleh berkata, pusat-pusat hiburan yang baru dibuka di bandar raya ini akan membuatkan golongan remaja semakin lalai dengan tanggungjawab mereka sebagai umat Islam.

"Kurang sebulan lagi umat Islam akan berpuasa di bulan Ramadan, jadi adakah Azizan akan membiarkan pusat-pusat hiburan ini terus beroperasi sehingga melepasi pukul 1 pagi?
"Sudah tentu pemilik pusat hiburan ini tidak akan menutup operasi mereka kerana mereka akan rugi," katanya.

Dalam pada itu, Bendahari Badan Bertindak Generasi Prihatin 3R 1Malaysia, Mansor Ahmad berpendapat, masalah sosial yang berlaku membabitkan anak muda Kedah semakin teruk dengan adanya pusat-pusat hiburan baru.

"Kalau kita tinjau pada waktu malam, bandar raya ini akan bertukar macam di Thailand, jadi sebelum berlaku masalah sosial yang lebih teruk, lebih baik kerajaan tutup pusat-pusat hiburan ini," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...