Sunday, May 27, 2012

Kelemahan Azizan, Penduduk desak alih tapak pelupusan sampah


Lebih 200 penduduk dari Kampung Siputih, Kampung Charok Damar dan Kampung Hujung Bandar di sini mendesak kerajaan negeri mengalihkan segera sebuah tapak pelupusan sampah berdekatan kampung mereka.


Seorang penduduk, Zaiton Mat Isa, 40, yang jarak rumahnya terletak kira-kira 300 meter dari tapak pelupusan sampah itu berkata, dia dan keluarganya tidak tahan kerana terpaksa menghidu bau busuk setiap hari hingga menjejaskan aktiviti hariannya.

"Lalat memang penuh di rumah saya dan kami sekeluarga tinggal dalam keadaan yang tidak selesa sejak wujudnya tempat pelupusan sampah ini. Kalau musim hujan air dari tempat tersebut penuh di depan rumah dan baunya memang menusuk hidung," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Nazir Ahmad, 50, berkata, penduduk kampung amat berharap kerajaan negeri segera mengalihkan tapak pelupusan sampah itu dari kampung mereka dengan segera.

"Sejak dua tiga tahun kebelakangan ini sampah-sarap yang dibuang di sini semakin tidak terurus. Sampah dibuang sehingga melimpah ke atas jalan dan masalah semakin teruk bila musim hujan," ujarnya.

Tambah Mohd. Nazir, pihaknya telah mengadu mengenai masalah tersebut kepada Majlis Daerah Sik, namun tiada tindakan diambil.

"Januari lepas pihak majlis kata tapak ini mungkin akan dialihkan, namun sehingga kini tiada tanda-tanda tapak ini akan dialihkan ke tempat lain," katanya.

Seorang lagi penduduk, Nazir Salam, 46, berkata, penduduk kampung telah lama bersabar dengan masalah tersebut, namun semakin hari semakin menimbun sampah di tapak yang luasnya 1.2 hektar itu.

"Kami harap masalah ini mendapat perhatian daripada kerajaan negeri dengan segera," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...