Friday, June 1, 2012

DAULAT TUANKU : SULTAN KEDAH - KETUA NEGARA DUA ERA


Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang mencatat sejarah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali, ialah seorang Raja yang mencintai alam semula jadi dan begitu mengambil berat mengenai kebajikan rakyat. Sebagai Sultan Kedah dan ketika pertama kali dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong antara 1970 dan 1975, Tuanku Abdul Halim sering turun ke akar umbi bagi merapatkan jurang antara rakyat dan Istana.

Sifat mesra Raja berusia 84 tahun ini menjadikan Seri Paduka Baginda seorang pemerintah yang dikasihi dan disegani seluruh rakyat Kedah, khususnya dan rakyat Malaysia, amnya.

Tuanku Abdul Halim juga rapat dengan rakyat melalui penyertaan aktif dalam pelbagai aktiviti Persatuan Murid-Murid Tua Kolej Sultan Abdul Hamid, Vintage Classic Car Register Malaysia& Singapore, Persatuan Snuker dan Billiard Malaysia, Persatuan Golf Kedah dan Yayasan Sultanah Bahiyah.

Seri Paduka Baginda sentiasa memberi penekanan kepada pentingnya pendidikan untuk semua. Setiap tahun Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong berangkat menghadiri pelbagai aktiviti di sekolah rendah, menengah malah maktab perguruan dan universiti.

Seri Paduka Baginda juga adalah Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Kolej Universiti Insaniah Negeri Kedah.

Tuanku Abdul Halim sendiri seorang yang berpendidikan. Seri Paduka Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah sebelum menyambung pelajaran di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah.

Pada tahun 1952, semasa menjadi Raja Muda Kedah, Tuanku Abdul Halim menuntut di Wadham College, Oxford, London dalam jurusan Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam.

Sememangnya pencinta alam semula jadi, pemuliharaan flora dan fauna menjadi perhatian Tuanku Abdul Halim. Di Istana Anak Bukit Alor Setar, Seri Paduka Baginda mempunyai sebuah mini zoo yang menempatkan pelbagai jenis burung dan binatang, termasuk kuda, kijang, landak, anak buaya tembaga, monyet dan arnab.

Di celah-celah kesibukan ini, Seri Paduka Baginda masih ada masa untuk aktif dalam sukan kegemarannya - golf. Tuanku Abdul Halim turut meminati sukan bola sepak dan memberi perhatian serius kepada perkembangan pasukan negeri Kedah dan pasukan negara.

Seri Paduka Baginda juga suka membaca buku ilmiah, melancong dan meminati fotografi.

Tuanku Abdul Halim pertama kali menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada 1970, semasa negara sedang pulih daripada kesan peristiwa rusuhan perkauman 13 Mei 1969. Seri Paduka Baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 di bawah sistem unik giliran pelantikan sembilan Raja-Raja Melayu, pada April tahun lepas.

Semasa Seri Paduka Baginda memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima, perdana menteri ketika itu adalah Tun Abdul Razak Hussain. Kini ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14, perdana menteri ialah Datuk Seri Najib, anak Allahyarham Tun Razak.

Tuanku Abdul Halim diputerakan pada 28 Nov 1927. Pada 14 Julai 1958, Seri Paduka Baginda menaiki takhta Sultan Kedah berikutan kemangkatan ayahanda Sultan Badlishah. Tuanku Abdul Halim kemudian ditabalkan sebagai Sultah Kedah pada 20 Feb 1959.

Pada Julai 2008, Seri Paduka Baginda menyambut perayaan Jubli Emas sempena ulang tahun ke-50 pemerintahan di Kedah.

Tuanku Abdul Halim bertemu jodoh dengan Tuanku Hajah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman pada 10 Mac 1956 dan dikurniakan tiga orang puteri -- Tunku Puteri Intan Safinaz yang diputerikan pada 1966, Tunku Soraya (1961) dan Tunku Salina (1961) yang mangkat pada 31 Ogos, 1991.

Sultanah Bahiyah mangkat pada 26 Ogos 2003 di Istana Kuala Chegar, Anak Bukit, Alor Setar.

Tuanku Abdul Halim berkahwin dengan Che Puan Hajah Haminah Hamidun pada 25 Dis 1975 dan dimasyhurkan sebagai Sultanah Kedah dengan gelaran Tuanku Sultanah Hajah Haminah pada 9 Jan 2004.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...