Thursday, May 31, 2012

AZIZAN RAZAK PERLU HENTIKAN PEMBALAKAN DI GUNUNG INAS


Kerajaan negeri Kedah seharusnya mengambil tindakan menghentikan segera aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Gunung Inas, Baling yang bukan sahaja mengancam alam sekitar malah membahayakan penduduk di sekitar kawasan itu, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah. Beliau berkata, sekiranya kerajaan negeri tidak berbuat demikian, ini jelas menunjukkan mereka tidak serius dan rakyat boleh menilai sendiri perkara ini.

"Kuasa ada pada kerajaan negeri, patut mereka ambil tindakan hentikan dan kaji semula pembalakan ini. Bila timbul isu ini menteri besar jawab pun tak serius, rakyat nak penjelasan daripada kerajaan negeri supaya puas hati," katanya.
  
Ahmad Bashah mengulas isu pembalakan di Bukit Hijau, Bukit Chelak dan Bukit Kemangi yang menyebabkan air sungai di kawasan berkenaan berlumpur dan tercemar.
  
Katanya alasan yang diberi kerajaan negeri kononnya hutan berkenaan dicerahkan untuk pembangunan Ladang Rakyat tidak boleh diterima.
  
"Antara ladang dan rakyat, rakyat lebih penting. Bekalan air mereka tercemar akibat pembalakan ini. Mereka terpaksa dapatkan bekalan air bukit sebab buka paip keluar angin saja.
  
"Semasa pemerintahan Barisan Nasional dulu pun kita ada jalankan aktiviti pembalakan tapi ikut undang-undang Jabatan Hutan, kita buat secara terkawal bukan gondolkan hutan macam ni," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...