Tuesday, May 29, 2012

AZIZAN PERLU TANGUNGJAWAB KAWASAN BUKIT 'BOTAK'

Gambar yang diambil di Gunung Inas di Baling yang semakin botak.

Kerajaan Negeri didakwa cuba berselindung di sebalik projek Ladang Rakyat untuk menutup kepincangan yang berlaku membabitkan penebangan balak yang berleluasa di sekitar Baling dan Sik. Pengerusi Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah harus bertanggungjawab atas kerakusan menebang balak seterusnya menjejaskan kawasan tadahan air termasuk merosakkan ekosistem alam semula jadi kawasan berkenaan.

“Perkara ini dibangkitkan oleh penduduk yang membuat aduan kepada Puteri Umno Bahagian Baling, yang memanjangkan perkara itu kepada kita. Penduduk perlu berani tampil bersuara membantah kerakusan penebangan balak di situ, jika mahu perkara ini dihentikan,” katanya. Menurutnya, Umno Kedah mempunyai maklumat serta bukti berhubung kawasan hutan yang diambil balak sewenang-wenangnya dan bukan sekadar bercakap kosong.

“Kita selidik aduan yang diterima dengan menghantar pasukan untuk buat tinjauan. Kita dapati pelbagai saiz balak ditebang tanpa kawalan hingga kawasan bukit ‘botak’.

Pada zaman Barisan Nasional (BN) dahulu, kita tebang ikut saiz yang dibenarkan Jabatan Perhutanan,” katanya. Ahmad Bashah turut mempersoalkan alasan yang diberikan Kerajaan Negeri konon hutan berkenaan dicerahkan untuk pembangunan Ladang Rakyat kerana dilakukan di kawasan tadahan air.

“Saya ingin tanya, mana lebih penting, buka Ladang Rakyat hingga jejas kawasan tadahan air atau bekalan air bersih kepada penduduk?

“Itu sekadar alasan untuk sembunyi motif sebenar mengaut keuntungan daripada penebangan balak,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri harus mempunyai perancangan yang betul tanpa menjejaskan kawasan Hutan Simpan Gunung Inas, sekiranya mahu membangunkan projek terbabit.

“Cari sahaja lokasi lain, di kawasan tanah pamah bukannya bukit. Mungkin ini taktik untuk raih pendapatan balak, tidak hairanlah hasil balak melonjak puluhan juta ringgit,” katanya sinis.

Ahmad Bashah berkata, air sungai yang menjadi sumber bekalan air penduduk kini keruh dan menyebabkan penduduk mengadakan demonstrasi  Jumaat lalu supaya Kerajaan Negeri buka mata.

“Kerajaan PR perlu bertanggungjawab kerana keperluan air bersih masih meruncing hingga kini, malah kawasan luar bandar pun bekalan masih belum sempurna,” katanya.

Jumaat lalu, 300 belia mengadakan perhimpunan aman di hadapan Kompleks Rakan Muda Baling membantah pengeluaran balak yang berleluasa di daerah itu, hingga didakwa menyebabkan sumber air bertukar keruh, selain meminta Kerajaan Negeri
bertindak segera.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...