LANGKAWI yang terkenal sebagai pulau peranginan tidak terlepas
daripada bahang politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13. Mereka yang
tiba di pulau itu sudah pasti akan disambut dengan kemeriahan
bendera-bendera parti politik. Sepanjang jalan dari Kuah ke Kedawang, ia dipenuhi dengan
bendera-bendera yang seolah-olah menggambarkan musim pilihan raya sudah
bermula.
Ternyata Langkawi sememangnya menjadi salah satu sasaran pembangkang
terutamanya Pas untuk ditawan setelah ia sekian lama berada di bawah
Barisan Nasional (BN). Pas bukannya tidak mencuba untuk menawan Langkawi
namun usaha mereka gagal, penduduk Langkawi masih setia bersama BN.
Tambahan pula orang Kedah terutamanya di Langkawi masih terhutang budi
kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dianggap pemimpin paling berjasa
membangunkan pulau itu.
Ketika berada di pulau legenda itu minggu lalu, penulis diberitahu
bahawa Pas semakin agresif untuk meraih sokongan penduduk, kibaran
bendera parti itu di seluruh pelosok pulau tersebut telah menampakkan
betapa seriusnya usaha mereka. Oleh itu BN tidak boleh memandang remeh cabaran yang dilakukan oleh
Pas apatah lagi sekarang ini, sudah terdengar ura-ura ada perebutan
untuk menjadi calon di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO di pulau
tersebut.
Pulau Langkawi mempunyai tiga kerusi yang kesemuanya kini dikuasai
oleh BN iaitu Parlimen Langkawi dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri
(DUN) iaitu Kuah dan Ayer Hangat. Penulis tidak tahu sejauh manakah kebenarannya mengenai perebutan
untuk menjadi calon ini tetapi ia dimaklumkan sendiri oleh penduduk
Langkawi yang sentiasa mengikuti perkembangan politik pulau itu.Mungkin
juga keadaan itu berlaku kerana sudah ada cakap-cakap bahawa UMNO dan BN
perlu meletakkan calon muda atau muka baru terutamanya bagi kerusi
Parlimen.
“Kalau muka baru baguihla (baguslah), dapat lah kita tengok idea
baru untuk tolong penduduk," kata seorang peniaga di Pantai Cenang
kepada penulis. Berdasarkan tinjauan dan sembang-sembang penulis dengan
penduduk Langkawi jelaslah mereka mahukan perubahan dari segi calon BN. Apa yang agak menarik nama Datuk Mukhriz Mahathir turut menjadi
sebutan penduduk sebagai calon paling sesuai untuk bertanding kerusi
Parlimen langkawi.
Justeru tidak hairanlah Mukhriz akan disambut meriah setiap kali
datang ke pulau itu. Bagi penduduk tidak ada salahnya Mukhriz menjadi
ahli Parlimen kawasan berkenaan. Apa tah lagi penduduk menganggap ia
bagaikan peluang untuk mereka membalas jasa Dr. Mahathir dengan memberi
penghormatan kepada Mukhriz menjadi wakil rakyat mereka.
‘‘Dulu pun kami ada dengaq Mukhriz nak bertanding di sini
tetapi last-last tak jadi, dia pi bertanding di Jerlun...tak
tau la kali ini macam mana tetapi kalau dia bertanding penduduk pasti
sokong dia," kata seorang penduduk yang tinggal di Temoyong, Langkawi.
Walaupun Mukhriz mungkin ‘tidak senang’ namanya dikaitkan namun
beliau perlu faham bahawa dirinya kini adalah pemimpin muda paling
popular di Kedah. Memanglah kenyataan seumpama ini sudah pasti tidak
akan disenangi oleh sesetengah pihak, sebab itulah khabarnya baru-baru
ini beliau `diserang’ agak hebat bila namanya dikaitkan untuk jawatan
Menteri Besarkalau BN menang di Kedah.
Tetapi apa yang penting kita harus berpegang kepada prinsip rakyat
didahulukan, maka ikut apa yang rakyat mahukan dan bukannya mengikut
agenda politik mana-mana individu. Mukhriz bukan sahaja popular di kalangan warga emas malahan generasi
muda juga dikatakan menyenangi keterampilannya. Oleh itu ramai
berpendapat tiada salahnya jika Mukhriz diuar-uarkan sebagai bakal
pemimpin utama Kedah.
‘‘Tidak kisah di mana pun Mukhriz bertanding, dia boleh menang
tetapi kalau di Langkawi lagi baguih (bagus) sebab penduduk suka dia,’’
kata seorang penjawat awam yang bertugas di pulau berkenaan.
Dalam soal ini semua pemimpin UMNO dan BN perlu akur termasuklah di
Pulau Langkawi , kalau penduduk yang menyokong BN merasakan bahawa
masanya sudah tiba untuk parti itu melakukan perubahan dari segi calon
dan tidak meletakkan muka yang sama sahaja bertanding, maka lakukan, apa
yang penting kemenangan untuk parti. BN tidak harus memandang remeh cabaran pembangkang di Pulau
Langkawi, senario politik negara masa kini telah membuktikan bahawa
tidak ada mana-mana pun parti politik yang boleh mendabik dada
mengatakan satu-satu kawasan itu kubu kuat mereka.
Begitu juga di Langkawi walaupun tradisinya ia kubu kuat UMNO namun
ia bukanlah satu jaminan sebaliknya apa yang perlu dilakukan ialah
meletakkan calon mengikut kehendak rakyat pulau itu. Tidak apalah kalau Mukhriz lebih sesuai dikekalkan di kerusi Parlimen
Jerlun atau mewarisi bekas kerusi bapanya di Kubang Pasu, tetapi
cabaran pembangkang di Langkawi jangan dipandang remeh. Malahan tinjauan
penulis di Kedah juga mendapati bahawa pengaruh Mukhriz dengan
kehadiran Dr. Mahathir untuk berkempen dalam pilihan raya umum akan
datang mampu memberi kelebihan kepada BN.
Apa pun senario yang berlaku di Langkawi dan Kedah secara
keseluruhan sememangnya amat menarik untuk diikuti. Penulis yang berada
di Kedah ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat
Kulim pada Jumaat lalu mendapati sokongan rakyat Kedah kepada BN semakin
meningkat.
Ribuan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum yang menyambut
kehadiran Najib telah membuktikan rakyat Kedah mahukan perubahan
kepimpinan kerajaan negeri. Mereka merasakan cukuplah sepenggal Pas
diberi peluang untuk memerintah tetapi gagal melakukan apa-apa, banyak
janji yang tidak ditunaikan.
Sememangnya berdasarkan tinjauan penulis selama seminggu di Kedah
mendapati arus perubahan semakin ketara dan ia bakal membawa kebaikan
kepada UMNO dan BN tetapi parti itu tidak boleh leka kerana bukan sahaja
perubahan sikap rakyat diperlukan tetapi juga ketelusan
pemimpin-pemimpin BN untuk meraih kemenangan.
Dan ia termasuklah memberi laluan kepada generasi muda menjadi
peneraju utama kepimpinan negeri jika BN menang, siapakah mereka ia
perlu diuar-uarkan dari sekarang supaya rakyat tidak menganggap bahawa
dalam pilihan raya akan datang UMNO hanya meletakkan calon bak kata
orang Kedah, ‘pi mai pi mai muka tu jugak,’’.
No comments:
Post a Comment