Wednesday, June 13, 2012

PARTI SIBUK CERAMAH, AZIZAN GAGAL SELESAI ISU TANAH


Lebih 500 penduduk di Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ), Sik, meminta Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah pemilikan geran tanah tapak rumah, tanah ladang di Sungai Pau dan tanah tanaman kontan, yang   dijanjikan kepada mereka sejak tahun 2000. Setiausaha Jawatankuasa Penaja Bertindak Projek Beris, Mansor Yaakub, berkata, penduduk-penduduk dari empat kampung iaitu Kampung Sungai Batang, Kampung Batu Seketol, Kampung Ternas dan Kampung Kuala, dipindahkan ke BBBJ untuk memberi laluan kepada projek pembinaan Empangan Beris.


“Kami dipindahkan ke BBBJ sejak tahun 2000 dan dijanjikan dengan sebuah rumah asas, tapak tanah seluas 929 hingga 1,858 meter persegi, tanah ladang seluas dua relung, tanah untuk tanaman kontan seluas 0.16 hektar dan tapak  serta ruang niaga untuk kegunaan penduduk. Semua perkara itu diberikan termasuklah tanah ladang yang ditanam dengan getah, namun sehingga kini geran hak milik tanah tidak diterima oleh penduduk yang terlibat,” katanya semalam.

Menurutnya, beliau selaku wakil penduduk perlu mendapatkan penjelasan daripada pihak berkenaan demi menjamin nasib generasi selepas ini. “Memang perkara ini sudah lama berlalu dan pentadbiran Kedah sudah bertukar tangan, namun ini adalah masalah rakyat dan kami berharap ia dapat diselesaikan oleh kerajaan yang mentadbir negeri ketika ini.

“Kami sudah mengetengahkan perkara ini kepada beberapa pihak, namun masih belum memperoleh geran menyebabkan kami terasa seolah-olah berada di kawasan setinggan dan pada bila-bila masa sahaja kerajaan boleh  mengambil tanah kami,” katanya.

Mansor berkata, mengenai pengurusan tanah ladang pula, ia dikendalikan anak syarikat kerajaan negeri iaitu Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah Sdn Bhd.

“Setiap tahun kami menerima bayaran hasil namun dalam jumlah yang tidak menentu, yang mana paling banyak pernah diterima ialah RM4,800 setahun. “Hasil tanaman kontan pula, tidak diketahui malah lokasi tanah berkenaan juga  tidak dimaklumkan kepada kami sehingga ke hari ini” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Abu Bakar Awang, 68, berkata, beliau kesal kerana setelah sekian lama tertangguh, perkara itu masih belum selesai walaupun bayaran cukai pintu dibuat menerusi Koperasi Pembangunan Beris  Berhad. “Lagi dua tahun usia saya akan mencecah 70 tahun, saya berharap perkara ini dapat diselesaikan segera demi kepentingan anak cucu kami pada masa hadapan.

“Saya tidak mahu tanah itu ‘hilang’ begitu sahaja jika generasi pertama ini sudah tiada lagi di dunia ini,” katanya. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...