Wednesday, May 23, 2012

Latt Shariman beri petani kudung harapan

Gambar Hiasan

Penantian seorang petani miskin di Kampung Hutan Serdang, Mukim Padang Hang dekat sini untuk mendapatkan kaki palsu sejak 2010, bakal berakhir apabila masalahnya mendapat perhatian Datuk Latt Shariman Abdullah. Che Hassan Noh, 63, berkata harapannya terpadam kerana kaki palsu yang diharapkannya tidak sampai walaupun syarikat yang dilantik Kementerian Kesihatan dua kali datang ke rumahnya untuk mengukur kakinya yang kudung.

Katanya Kementerian Kesihatan meluluskan permohonannya mendapat kaki palsu pada April 2010 setelah kaki kirinya dipotong pada Disember 2009 di pertengahan pangkal peha akibat terkena jangkitan kuman. Menurut Che Hassan kali pertama wakil syarikat datang pada November 2010 setelah menerima surat Kementerian Kesihatan bertarikh 6 November 2010 dan sekali lagi pada Jun tahun lepas namun senyap sehingga hari ini.

"Dengan adanya kaki palsu bolehlah saya berjalan. Isteri saya, Aishah Che Mat, 65, boleh buat kerja lain," kata Che Hassan ketika dikunjungi Latt Shariman di rumahnya, hari ini.

Beliau bagaimanapun berterima kasih kepada kerajaan kerana mendapat bantuan orang kurang upaya sebanyak RM300 sebulan sejak April lalu.

Latt Shariman yang juga ketua UMNO bahagian serta Penyelaras Parlimen Kuala Kedah berkata masalah petani itu membabitkan soal pentadbiran Kementerian Kesihatan dan pihak berkaitan seharusnya memberi jaminan kepada penerima agar masalah seumpama ini tidak berulang.

"Saya yakin peruntukan kaki palsu kepada penerima sudah ada. Perkara seperti ini boleh diselesaikan dan saya akan rayu kepada Kementerian Kesihatan bagi pihak Che Hassan," katanya.

Sementara itu pengerusi Lembaga Pelawat HSB, Ramli Mohd Yunus berkata beliau akan membincangkan kes Che Hassan dengan Unit Sosial dan Kebajikan HSB.

"Saya akan berusaha dapatkan kaki palsu berharga hampir RM6,000 untuk Che Hassan melalui dana Unit tersebut. InsyaAllah saya akan usahakan secepat mungkin," katanya

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...