Wednesday, May 16, 2012

Himpunan NGO Serah Bunga & Memorandum Tanda Sokong Polis


Lima badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan bunga dan memorandum kepada Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim sebagai tanda sokongan kepada polis yang menjaga keselamatan negara selama ini.

Seramai 500 anggota NGO daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia(Perkasa) Kedah, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Kedah, Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah dan Persatuan Kaum India dan Tiong Hwa Kedah berarak kira-kira 300 meter dari Stadium Darul Aman ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah kira-kira 5 petang tadi.

Memorandum sokongan terhadap tindakan polis mengawal keselamatan pada perhimpunan Bersih 3.0 yang berlangsung di ibu negara 28 April lepas, disampaikan oleh Yang Dipertua Perkasa negeri Syed Osman Mansor kepada Ahmad.

Syed Osman berkata mereka amat kesal dengan tindakan peserta perhimpunan haram itu yang menggambarkan polis sebagai kejam dan mereka diadili dengan cara yang hina hanya kerana mahu menjaga kepentingan negara ini.

Katanya peserta perhimpunan itu juga turut berani memukul dan membelasah polis tanpa rasa takut dan malu dengan tindakan terkutuk itu malah ada yang berani mengancam untuk membunuh polis.

Syed Osman berkata pihaknya turut mendesak Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta agar mengambil tindakan undang-undang terhadap pelajar yang menyertai perhimpunan haram itu.

Selain itu mereka juga amat marah dengan tindakan bodoh segelintir peserta Bersih yang melakukan perhimpunan itu di Mekah sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati kerajaan Arab Saudi.

"Kita bimbang perkara ini akan menjejaskan kuota haji dan umrah rakyat negara ini disebabkan tindakan segelintir peserta di negara tersebut," katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum dan bunga kepada polis Kedah.

Syed Mansor berkata perarakan lima NGO hari ini membuktikan rakyat negara ini menghargai perjuangan polis dan berterima kasih kerana menjaga keamanan dan keselamatan negara ini.

Sementara itu Datuk Ahmad Ibrahim berkata beliau amat berterima kasih kepada rakyat negara ini yang menyokong polis dalam melaksanakan tugas menjaga keamanan negara walaupun dikecam oleh pihak tidak bertanggungjawab.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...