Saturday, June 2, 2012

Tersilap Cakap: Apa Sudah Jadi Nizar?


nizar

KALAU nak diikutkan, kesalahannya kecil sahaja.  Terlepas cakap dari UMNO kepada PAS, kata orang putih ‘slip of tounge’.  Tapi memandangkan ia dilakukan di depan puluhan ribu penyokong PAS yang beramai-ramai hadir ke Himpunan Hijau di Alor Star semalam, kesilapan itu tidak sepatutnya berlaku. 


Pada yang tidak tahu, kejadian sebenarnya ialah mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaludin tersilap mengatakan ‘himpunan ini tanda kejatuhan PAS disemua peringkat’(sepatutnya UMNO)Kesilapan ini berlaku semasa Nizar mengisi ruang dengan ceramah ‘Mentalkinkan UMNO’ sementara menunggu ketibaan Ustaz Azhar Idrus dalam himpunan semalam.

Kejadian ini mengingatkan penulis kepada kesilapan sama yang dilakukan Menteri Besar Selangor sekarang, Tan Sri Khalid Ibrahim semasa kempen pilihanraya kecil Ijok 2007 yang tersilap meminta rakyat mengundi BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Khalid kemudiannya tewas kepada calon BN, K Parthiban sebelum merampas semula kerusi itu pada 2008.



Penulis tidaklah percayakan keadaan sama yang berlaku kepada Khalid pada 2007, akan berlaku kepada PAS di Kedah dalam pilihanraya umum yang akan datang, cuma yang menjadi kerisauan penulis ialah kelihatannya Nizar sedikit tertekan.

Seperti yang kita semua tahu Nizar sedang berhadapan dengan tekanan pihak berkuasa yang menyiasatnya dibawah Akta Hasutan kerana tersilap menuduh Sultan Johor menggunakan wang rakyat berjumlah lebih RM 500,000 dalam bidaan nombor plat WWW1.

Pada pendapat penulis, perkara itu bukanlah isu yang sepatutnya dirunsingkan Nizar.  Siapa yang tahu Sultan Johor dan anakanda baginda tidak mengambil sesen pun gaji sebagai Sultan dan Tengku Muda Johor sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim lagi?

Penulis sendiri sepanjang terlibat dalam politik pun tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut.

Pada pandangan penulis, Nizar ada kebimbangan yang perlu dinyatakan, maklumlah jumlah itu bukan sedikit, sekadar untuk membida nombor plat. Walaupun penulis dimaklumkan Nizar sendiri semasa menjadi Menteri Besar Perak membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk nombor plat 14 kereta rasmi kerajaan negeri dari jenis Camry yang digunakan beliau dan para Exconya.

Kalau kes ini benar-benar menganggu Nizar, penulis nasihatkan agar beliau segera mendapatkan tarikh mengadap Sultan Johor memohon maaf, sebelum lebih banyak karut marut seumpama semalam yang keluar dari mulut beliau.

Penulis sendiri pun tersentak mendengar ayat tersebut boleh keluar dari mulut Nizar.  Kalau tidak kerana tahu komitmen Nizar kepada perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat (terutama DAP), boleh saja Nizar dimaki ramai orang semalam.

Maklumlah sajalah, dalam suasana sekarang, semua benda pun sensitif.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...