Monday, June 25, 2012

2 BULAN TIADA AIR, PENDUDUK KECEWA DENGAN OSTAD AZIZAN


Penduduk di Blok F Rumah Pangsa Seberang Terus di sini kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang didakwa tidak mengendahkan masalah ketiadaan bekalan air di kawasan tersebut sejak dua bulan lalu. Difahamkan masalah itu sudah beberapa kali diajukan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman namun sehingga kini tiada tindakan yang diambil.



Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) rumah pangsa tersebut, Rashidi Ani, masalah itu berlaku sejak kerajaan negeri mengupah kontraktor menukar tangki air di flat tersebut.

"Kalau nak dikira masalah gangguan dan kualiti air di kawasan ini sudah lebih tiga tahun sekejap ada, sekejap tiada. Tetapi selepas kontraktor menukar tangki air yang baru, bekalan air terputus langsung sejak dua bulan lalu. Bila tanya pejabat SUK dan kontraktor terbabit masing-masing menuding jari, jadi kesudahannya penduduk yang merana," katanya.

Kata beliau, apa menghairankan pihaknya ialah masalah air kritikal cuma berlaku di 30 unit di blok terbabit.

"Terdapat 60 unit rumah di blok ini tetapi masalah air ini membabitkan unit rumah tangki air ditukar itu sahaja. Ini cukup tidak adil kerana semua penduduk membayar sewa rumah kepada kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri dilihat pandang mudah perkara ini dan tidak mengambil apa-apa tindakan termasuk tiada langsung bekalan air dihantar ke sini oleh Syarikat Air Darul Aman untuk membantu penduduk," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...