Sunday, May 27, 2012

Rakyat bantah pembalakan di Kedah, Azizan Perlu Bertanggungjawab


Lebih 300 belia dan beliawanis Parlimen Baling hari ini mengadakan demonstrasi bagi membantah tindakan Kerajaan Pas Kedah yang gagal mengawal aktiviti pembalakan di daerah ini sehingga menjejaskan kehidupan mereka. Mereka membawa berpuluh botol mengandungi air kotor kesan daripada pembalakan secara berleluasa akibat ketiadaan kawalan oleh kerajaan negeri.


Peserta kemudiannya dengan perasaan marah menghempas botol tersebut sebagai tanda protes dan marah terhadap kerajaan negeri. Wakil peserta, Suriati Che Mid berkata, mereka bangkit mendedahkan perkara itu kepada kerajaan negeri kerana pembangunan yang kononnya dibawa ke daerah itu telah menjejaskan persekitaran termasuk kawasan sungai.

'Kami cemuih minum air keruh, air sungai kotor' dan 'kerajaan negeri perlu bertanggungjawab' adalah antara sepanduk dan kain rentang yang dibawa oleh peserta terbabit. Rakyat perlu sedar dengan tindakan kerajaan negeri Kedah yang sering menganggap mereka berjaya membawa masuk banyak duit tetapi sebenarnya merugikan pula rakyat.

"Apakah kerajaan negeri sedar mereka hanya mahu melihat dan mengaut untung tetapi pada masa yang sama rakyat menanggung derita," katanya.

Beliau berkata, kesemua peserta demonstrasi juga mengambil ketetapan supaya semua kawasan balak yang dibenarkan pengambilannya itu dihenti dan kerajaan negeri perlu membayar pampasan ganti rugi kepada penduduk.

Seorang lagi penduduk, Hatijah Mhd. Saad, 30, yang turut kecewa dengan isu pembalakan itu berkata, aktiviti tersebut telah menjejaskan kehidupan mereka kerana ia dilakukan tanpa mengambil kira kesan kepada rakyat.

"Kami mahu Menteri Besar Kedah peka dengan masalah ini dan jangan hanya mahu mengaut keuntungan sehingga menjejaskan kehidupan kami,'' katanya.

Hamidah Md. Noh, 36, dari Kampung Bok Bak juga kesal dengan isu pembalakan itu sehingga menjejaskan kawasan penempatan penduduk termasuk memberi kesan kepada kehidupan mereka. Demonstrasi itu berlangsung secara aman kira-kira 30 minit sebelum mereka beredar dari tempat berkenaan dan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...