Wednesday, May 16, 2012

Mukhriz bidas sikap angkuh kerajaan Pas Kedah

Datuk Mukhriz Mahathir membidas kerajaan Pas Kedah kerana terus bersikap angkuh terhadap krisis kewangan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dan keputusan mahu merobohkan Madrasah Salihiah di sini.

Tegas beliau, kerajaan negeri sepatutnya lebih sensitif terhadap keperluan rakyat dan tidak bertindak seolah-olah mahu melanggar hak rakyat dalam isu-isu terbabit.
"Contohnya dalam projek pembinaan sebuah pusat beli-belah Aman Central di sini yang telah mendapat banyak protes daripada semua pihak dan sepatutnya ia boleh diatasi dengan baik.
"Kenapa kerajaan negeri tidak boleh mengikut apa yang telah Kerajaan Persekutuan lakukan semasa pembinaan sebuah pusat beli-belah Mid Valley Megamall dengan tidak merobohkan rumah ibadat di sebelah kompleks tersebut," katanya.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata demikian kepada pemberita selepas Program Wacana Ilmuan Negara (Winner) di Auditorium Kompleks Persekutuan Anak Bukit di sini hari ini.
Mukhriz mengulas keputusan terbaru kerajaan negeri yang tetap mahu merobohkan madrasah itu dalam masa terdekat bagi memberi laluan pembinaan kompleks perniagaan Aman Central bernilai RM500 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak baru-baru ini berkata, tindakan meroboh madrasah itu akan terus dilakukan kerana warisnya hanya memfailkan injunksi yang mempertikai penjualan tanah wakaf tersebut.
Mukhriz berkata, kedua-dua isu tersebut adalah soal kepentingan rakyat maka UMNO akan terus memperjuangkannya bagi memastikan hak rakyat sentiasa terbela.
"Kita sebagai pembela rakyat kena bangkitkan perkara-perkara yang dianggap penting. Kita tidak akan bangkitkan perkara itu jika ia dianggap remeh, kita ada banyak lagi kerja lain yang lebih penting daripada itu," katanya.
Mengenai krisis kewangan Kuin yang timbul baru-baru ini, Mukhriz berkata, kemelut tersebut berpunca daripada sikap kerajaan negeri yang cuba mempolitikkan perkara itu.
"Kalau semua benda termasuk pendidikan pun boleh dipolitikkan, inilah jadinya. Sepatutnya pendidikan tak seharusnya dijadikan sebagai isu politik kerana akhirnya anak bangsa kita juga yang akan menjadi mangsa," katanya.
Beliau berkata, jika Azizan menyatakan pengorbanan dan perjuangan mendirikan Kuin adalah usaha kerajaan Pas Kedah semata-mata, maka ia bukan kenyataan berdasarkan fakta.
Justeru, beliau berkata, UMNO sebagai pembangkang di Kedah perlu mendedahkan kepada rakyat tentang kepincangan dalam isu krisis kewangan Kuin dan projek Aman Central yang merugikan rakyat.
"Pakatan pembangkang hanya tahu membangkitkan perkara remeh-temeh yang melibatkan Kerajaan Persekutuan namun kita memilih untuk membangkitkan perkara yang melibatkan rakyat sahaja," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...