Wednesday, July 4, 2012

KUIN, UNISEL DAN SAUDAGAR JANJI

KUIN DAN UNISEL DI BAWAH PENTADBIRAN PAKATAN

KIAN hari kian sukar untuk kita tidak mempercayai penilaian buruk bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP telah mendustakan rakyat. Ini kerana sedang janji dan ikrar lama belum tertunai, mereka terus menerus menabur janji baru. Cuma liciknya, mereka bijak menyalut janji baru dalam bentuk harapan dan menyalahkan pula pihak lain sambil mengembar-gemburkan soal-soal rasuah dan kroni Kerajaan Pusat yang entah di mana hujung dan pangkalnya.


Mereka berharap dapat meledakkan emosi rakyat dan seterusnya melupai janji yang gagal ditunai. Itulah strategi mereka. Kalaupun tidak lupa, mereka berharap rakyat reda dengan ketentuan mereka gagal menepati janji-janji ini. Inilah yang boleh dirumuskan daripada sekian banyak munculnya masalah di Kedah dan Selangor. Lihatlah, sedang mereka menghebohkan pendidikan percuma dengan peruntukan berbilion ringgi, kebajikan pelajar dan kakitangan di institusi pengajian tinggi yang mereka tadbir diabaikan.

Rabu lalu, kira-kira 15 kakitangan Kuin daripada pelbagai jawatan membuat lima laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar kerana mendakwa berlaku pecah amanah di kolej universiti itu. Mereka mendakwa pengurusan Kuin tidak amanah menguruskan bayaran wang pekerja kepada institusi kewangan selaku pihak ketiga, meskipun gaji mereka dipotong setiap bulan. Kesemua kakitangan yang berkhidmat antara empat dan 15 tahun itu mengadu membuat pemotongan gaji untuk tujuan pembiayaan antaranya pinjaman kepada bank, Lembaga Tabung Haji dan zakat tetapi pihak pengurusan tidak membuat bayaran kepada pihak berkenaan.

Sebelum ini mereka telah mengadu kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tetapi sudah berminggu-minggu belum juga ada jalan penyelesaian. Ia dikatakan berpunca daripada krisis kewangan Kuin hingga kolej itu turut menghadapi masalah membayar gaji kakitangannya bagi bulan Mei.

Sebenarnya masalah di Kuin bukan baru. Ia sudah berlarut-larut. Keputusan Kerajaan Pas Kedah menaikkan yuran pengajian mulai Julai ini juga dikritik pelbagai pihak. Bagaimana mereka boleh berbangga dengan janji pendidikan percuma sedangkan mengurus kewangan sebuah kolej yang mempunyai beribu-ribu pelajar sahaja gagal? Sekali lagi, Kuin adalah contoh hipokrasi parti pembangkang.

Berbangga
Ya, mereka boleh berbangga mengumpulkan beribu-ribu penyokong di Stadium Darulaman dalam kempen menuju ke Putrajaya. Apakah hanya itu kemahiran mereka - mengumpulkan penyokong dan kemudian berbesar hati kononnya sudah cukup hebat?

Masalah Kuin ini dikatakan sudah melarat ke Universiti Selangor (Unisel)). Kini sudah hampir sebulan sejak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan ‘langkah sementara’ sebagai strategi jangka pendek menyelesaikan masalah kewangan pelajar universiti itu susulan pembekuan sementara pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Unisel.
Setakat ini belum ada apa-apa pengumuman dibuat walaupun Khalid telah menguar-uarkan langkah mengapungkan aset Unisel yang bakal meraih dana RM30 juta yang sebahagiannya akan digunakan untuk membantu pengajian pelajar.

Malah, Khalid seperti dilaporkan oleh Harakahdaily dalam satu ceramah di Kelantan cukup berbangga kononnya beliau telah berjaya mengumpulkan wang RM30 juta tetapi tiba-tiba pula PTPTN menarik balik pembekuan itu.

Kini, setelah hampir sebulan tidak terdengar pula pelajar Unisel ini mendapat habuan wang RM30 juta itu. Mereka, pelajar Unisel masih terus meminjam daripada PTPTN. Ah, jangankan langkah jangka panjang, langkah jangka pendek pun hanya terdengar di mulut sahaja.

Susulan kontroversi pembekuan sementara pinjaman PTPTN di Unisel itu, timbul banyak tanda tanya mengenai kemampuan sebenar kewangan satu daripada dua universiti yang ditadbir oleh Kerajaan PKR ini.

Mungkinkah Unisel yang didakwa telah banyak disusupi oleh unsur-unsur politik kepartian juga menghadapi masalah kewangan dan apakah kedudukannya lebih buruk berbanding Kuin?

Tentu sekali apa yang berlaku ke atas Kuin seharusnya tidak menimpa Unisel. Apatah lagi Selangor negeri kaya dan Menteri Besarnya tokoh korporat yang digembar-gemburkan ‘pandai mencari duit’.
Berbanding Kedah, di pejabat Menteri Besar Selangor lebih gah dengan ramai strategis dan pakar termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penasihat ekonomi. Tidak mungkin mereka akan benarkan Unisel berada dalam keadaan bermasalah.

Tetapi jika di Kuin boleh berlaku, tidak mustahil krisis sama berlaku di Unisel melihatkan pengurusannya yang sering bertukar akibat pertelagahan. Cuma mungkin setakat ini ia berjaya ‘disembunyikan’ tetapi bak kata pepatah bangkai gajah tidak selamanya boleh ditutup dengan nyiru
Lagipun Kerajaan PKR Selangor dikenal mempunyai reputasi dan rekod buruk dalam bidang pendidikan ini. Merekalah yang menutup Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di Sabak Bernam pada pertengahan 2010 dengan alasan mudah tidak ada keuntungan.

Merekalah juga yang menutup asrama Yayasan Selangor di Kampung Pandan untuk digantikan bangunan komersial dengan alasan asrama itu tidak lagi relevan. Kedua-dua kemudahan pendidikan ini yang tujuannya untuk membantu rakyat kurang mampu dijadikan mangsa demi keuntungan wang ringgit.

Berkali-kali mereka diingatkan tentang janji yang belum tertunai itu. Bagaimanapun politikus parti pembangkang ini seperti tidak peduli, semacam satu pengakuan bahawasanya mereka hanya berdagang janji.

Juga, terbuktilah mereka hanya ramai pakar strategis tetapi bila bab pelaksanaan tiada yang mampu dan berani melakukannya. Sahlah mereka hanya saudagar janji, pandai berjanji tetapi kelit untuk mengotakannya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...